
JIKA anda berasa sakit di antara dua tulang belikat atau tulang kipas, anda kemungkinan menghidap sakit sendi faset torasik. Ia adalah penyakit artritis sendi faset pada bahagian vertebral torasik. Gejala ini memang banyak berlaku di kalangan kita tapi tidak ramai pesakit dapat rawatan yang mujarab.
Kenapa begitu? Ini adalah kerana penyakit sendi faset torasik ini sukar dikenal pasti oleh ramai doktor. Malah gejala atau manifestasi penyakit ini jarang disebut dalam buku perubatan moden. Ubat penahan sakit dan fisioterapi saja tidak dapat mengawal sakit ini untuk selamanya.Apakah sendi faset torasik?
Sendi faset torasik berada di kiri dan kanan tulang vertebral torasik. Tulang belakang torasik terletak pada bahagian tengah menyambungkan vertebral tengkuk (servikal) dan pinggang (lumbar). Setiap segmen mempunyai sepasang sendi faset yang kecil sebesar kacang pis yang berfungsi untuk menyambung dan membenarkan pergerakan putaran di antara segmen vertebral.



