.: Dengan Menyebut Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang :.

Wednesday, November 17, 2010

Selamat Hari Ulang Tahun Anakku


Hari ni merupakan Hari Raya Aidil Adha yang di sambut oleh semua kaum muslimin dan muslimat di seluruh dunia. Hari ini juga merupakan hari yang paling bermakna buat aku dan isteri serta anak-anak kami.
Hari ini kami menyambut serentak Hari Raya Aidil Adha sekali dengan Hari kelahiran anakku Adam Umar Safillah. Ikutnya esok hari lahir dia tapi di sambut awal memandangkan hari ini semua bercuti dan esok cuti tidak approve he he he.

Tuesday, November 16, 2010

Salam Aidiladha


Hari Raya Aidiladha عيد الأضحى atau Hari Raya Haji merupakan perayaan yang dirayakan di seluruh dunia. Ia adalah perayaan terbesar di dalam Islam selain Aidilfitri yang disambut pada setiap 1 Syawal. Aidiladha disambut pada hari ke sepuluh, sebelas, dua belas dan tiga belas bulan Zulhijjah setiap tahun. Bermula dengan Takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidiladha serta khutbah Aidiladha di pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan samada pada 10 atau 11 atau 12 atau siang 13 Zulhijjah.
Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan ke-sabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah s.w.t.

Tuesday, November 9, 2010

Haji


Mengerjakan haji merupakan salah satu daripada Rukun Islam yang lima. Setiap orang Islam yang mempunyai kemampuan, diwajibkan mengerjakan haji sekali seumur hidup. Firman Allah Taala :
(ولله على الناس حج البيت من استطاع إليه سبيلا ومن كفر فإن الله غني عن العالمين)
Artinya: "Menjadi suatu kewajipan ke atas setiap manusia (orang-orang mukmin) pergi mengerjakan haji ke Baitullah, iaitu bagi mereka yang mempunyai kemampuan. Barangsiapa yang kufur (ingkar), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu pun) daripada pihak lain (alam)."
Haji pada syarak ialah mengunjungi Baitullah Al-Haram dalam bulan-bulan haji kerana mengerjakan tawaf, sai'e dan wukuf di Arafah dengan menurut syarat-syaratnya serta menunaikan segala wajib-wajibnya.
Umrah pada syarak ialah menziarahi Baitullah Al-Haram kerana mengerjakan tawaf, sai'e dengan menurut syarat-syaratnya serta menunaikan segala wajib-wajibnya.
Syarat-syarat haji mengikut mazhab Syafie

Friday, September 10, 2010

Tuesday, September 7, 2010

Zakat Fitrah

Ibnu Umar Meriwayatkan
"Rasullallah S.A.W mewajibkan zakat fitrah di bulan Ramadhan kepada setiap orang muslim samaada dia merdeka atau hamba lelaki mahupun perempuan iaitu jumlahnya segantang kurma atau gandum (Hadis Riwayat Imam Muslim No 935 Jilid 2 Halaman 96)"

Zakat fitrah dikenali juga sebagai zakat badan, zakat puasa, zakat Ramadan, dan zakat Fitri kerana masa untuk menyempurnakannya adalah pada akhir Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri. Zakat fitrah adalah sebagai penyuci orang yang berpuasa daripada melakukan perbuatan keji dan buruk juga untuk dijadikan sumber keperluan orang asnaf ketika 1 Syawal(siang & malam).

Syarat Zakat Fitrah

  1. Islam
  2. Mempunyai sesuatu (makanan, harta, atau wang) yang lebih daripada keperluan diri sendiri dan keperluan orang yang ditanggung nafkahnya untuk satu hari siang dan malam Hari Raya itu.
  3. Dapat menemui dua masa – akhir Ramadan dan awal Syawal. Orang yang meninggal dunia sebelum terbenam matahari atau anak yang dilahirkan selepas matahari terbenam malam satu Syawal itu tidak wajib fitrah ke atasnya.

Kadar Fitrah

Negeri

Kadar Zakat Fitrah 2010 (RM)

Perlis

6.00

Kedah

7.00

Pulau Pinang

7.00

Perak

7.00

Selangor

7.00

Negeri Sembilan

6.50

Melaka

6.50

Johor

5.00 / 7.50 *

Pahang

7.00

Terengganu

5.00 / 7.00 / 8.00*

Kelantan

7.00

Sarawak

5.20

Sabah

6.80

Wilayah Persekutuan

7.00

~Mengikut jenis beras~

Kewajipan zakat fitrah

  1. Ketua keluarga wajib membayar zakat fitrah untuk dirinya dan juga tanggungannya.
  2. Jika salah satu dari tanggungannya meninggal dalam bulan puasa, maka orang itu terlepas daripada membayar zakat fitrah.

Waktu mengeluarkan zakat fitrah terbahagi kepada 5

Waktu mengeluarkan zakat fitrah terbahagi kepada 5:

Waktu wajib: Apabila terbenam matahari akhir 30 ramadhan sehingga terbit matahari esoknya.

Waktu yang paling afdhal: Sebelum Solat Sunat Hari Raya.

Waktu sunat: Sepanjang bulan Ramadhan.

Waktu makruh: Selepas solat sunat hari raya sehingga terbenam matahari pada satu Syawal.

Waktu haram: Selepas terbenam matahari satu Syawal.

Niat Zakat Fitrah


Wang sebanyak $ _____ ini sebagai menunaikan zakat fitrah, yang wajib ke atas diri/keluarga saya untuk tahun berakhir _____ tunai kerana Allah Ta'ala.

Wednesday, September 1, 2010

Lailatul Qadar

بِِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِم مِّن كُلِّ أَمْرٍ سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ
Dengan Nama Allah, Maha Pengasih, Maha Penyayang.Sesungguhnya Kami menurunkannya pada Malam Lailatul Qadr.Dan apakah yang membuat engkau tahu apa itu malam Lailatul Qadr?Malam Ketetapan itu lebih baik dari seribu bulan.Para malaikat dan roh turun di dalamnya atas izin Tuhan mereka, untuk menjalankan semua perintah.Damai! Sampai terbitnya fajar
.

Malam Lailatulqadar adalah suatu malam yang paling utama di antara malam-malam yang ada di bulan Ramadan bahkan sepanjang tahun. Ia adalah malam yang penuh keberkatan dan mempunyai keistimewaan. Melakukan amal ibadat di malam tersebut adalah lebih baik ganjarannya dari melakukan amal ibadat selama seribu bulan.

Firman Allah di dalam surah Al-Qadr ayat 3:
Tafsirnya: Malam Lailatulqadar itu lebih baik dari seribu bulan."

Lailatulqadar adalah anugerah Allah Subhanahu Wataala hanya untuk umat Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam berlaku setiap kali bulan Ramadan sepanjang tahun sampai Hari Kiamat. Lailatulqadar ialah malam kemuliaan, malam keselamatan, malam kelimpahan rahmat Allah, iaitu satu malam yang mengandungi peristiwa penting bagi kemuliaan insan. Malam penuh kelebihan dan keistimewaan yang berlaku di bulan Ramadan dengan mempunyai keutamaan seperti ber- ikut :-

1. Malam diturunkan Al-Quran Al-Karim.

2. Malam yang lebih baik dari seribu bulan.

3. Malam Malaikat Jibril Alaihissalam turun untuk mengatur segala urusan dengan izin Allah.

4. Malam penuh kesejahteraan.

Adapun hikmat disembunyikan Lailatulqadar itu (tidak ditentukan malamnya secara khusus) ialah supaya kita dapat menghidupkan semua malam di bulan Ramadan yang mubarak ini dengan berusaha mencarinya, meningkatkan ibadat pada setiap malam, barangsiapa sahaja di antara kamu yang beruntung dan tepat beribadat pada malam-malam yang mubarak itu, maka dialah yang mendapat keuntungan yang sangat besar dan bertuah sekali.

Disebabkan untuk mendapatkan Lailatulqadar itu masih berkemungkinan ada, walaupun tidak siapa yang tahu dan dapat memastikannya dengan tepat bilakah datangnya Lailatulqadar itu, kerana mengikut setengah hadis mengatakan bahawa Lailatulqadar itu ialah di malam sepuluh terakhir bulan Ramadan sepertiman:

Hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Al-Imam Bukhari dari Saiyidatina Aisyah Radiallahuanha bermaksud : "Carilah dengan berhati-hati Lailatulqadar di malam-malam yang ganjil dari sepuluh terakhir bulan Ramadan."

Bahkan Nabi Sallallahu Alaihi Wassalam sendiri menghidupkan sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadan itu dengan membanyakkan amal ibadat kepada Allah sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Saiyidatina Aisyah Radiallahuanha yang bermaksud : "Bahawa Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam beriktikaf pada sepuluh terakhir bulan Ramadan, sehingga Baginda wafat kemudian dihidupkan (disunatkan) iktikaf selepasnya oleh para isteri Baginda."

Dari keterangan hadis di atas adalah jelas menunjukkan betapa Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri lagi berusaha dengan bersungguh-sungguh sehingga Baginda mengurangkan tidurnya demi mendapatkan Lailatulqadar yang mempunyai kelebihan dan keistimewaan yang tidak terkira itu

Thursday, August 26, 2010

Untuk Anak Ku Umar Safillah

Di pondok kecil
Di pantai ombak
Berbuih putih
Beralun - alun

Disuatu hari
Ayah berkata
Jaga adik mu
Ayahkan pergi jauh
Ku pandang wajah ayah
Dahinya ku cium
Air mata mengalir
Hati ku pilu

ulang *

Diam Adik ku sayang
Jangan menangis
Doakan ayah
Semoga diterima

Diam adik ku sayang
Jangan menangis
Andai ayah gugur
Doakan dia syahid

Selamat berjuang
Ayah tercinta
Kau pergi dulu ayah
Ke medan juang

Ku iringi doa
Moga berjaya
Beroleh kemenangan
Demi agama Islam

Wahai abangku
Ke mana ayah
Ku sayang ayah
Ku cinta ayah

Duhai adik ku sayang
Jangan bersedih
Ayah mu pergi
Menyambut seruan ilahi

Tapi ingatlah adikku
Pesanan ayah
Berjuang dan berkorban
Walau dimana jua

Pada mu tuhan
Aku bermohon
Dosa ayah ku
Minta diampunkan

Berilah rahmat
Bantulah ia
Untuk menegakkan
Agama Islam

p/s:untuk anak ku umar. Tiada apa yang abah ada untuk beri umar.Harta tidak ada, kekayaan jauh sekali. Moga umar jaga adik sebaik mungkin. Satu abah mahu umar tahu, abah sayang umar, permata hati abah. Walau jauh jarak memisahkan umar dan abah, namun di hati abah umar sentiasa ada.

Tuesday, August 17, 2010

Khasiat Tamar


Buah kurma atau dalam bahasa Arab, tamar adalah dari jenis palma seperti kelapa sawit sementara buahnya bertangkai seperti buah pinang. Kurma mengandungi khasiat pemakanan yang tinggi seperti kismis dan aprikot kering. Antaranya kurma kaya dengan protein, serat, gula, vitamin A dan C serta zat galian seperti besi, kalsium, sodium dan potassium.

Kandungan protein didalam kurma lebih kurang 2 %, serat hampir 4 % manakala kandungan gulanya 50 hingga 57 % glukosa. Ini menunjukkan kandungan gula didalamnya telah ditukar secara semulajadi. Bermakna apabila kita memakan kurma, tenaga yang diserap badan adalah serta merta. Gula didalam kebanyakan buah-buahan dikenali sebagai fraktosa dan gula tebu atau gula pasir yang biasa mengandungi sukrosa tidak boleh menyerap terus dalam badan. Ia terpaksa dipecahkan dahulu oleh enzim

sebelum bertukar menjadi glukosa lalu diserap badan sebagai tenaga.

Kulit kurma yang mengandungi serat, amat baik untuk mencegah barah usus besar kerana ia melawaskan. Sementara kandungan vitamin A dan C amat tinggi dan banyak mengandungi potasium yang diperlukan oleh badan untuk sistem saraf. Memang dalam susu, yogurt dan makanan laut juga mengandungi potasium tetapi jumlahnya sedikit.
Pengambilan potasium yang berlebihan tidak mengumpul toksik didalam badan dan tidak memudaratkan. Sebaliknya ia merangsang selera makan bagi yang berpenyakit serta bagus untuk golongan yang mengalami sembelit, lemah otot, sengal-sengal badan, letih, lesu, mengalami tekanan serta menguatkan daya ingatan. Ramai beranggapan hanya kismis yang baik untuk menguatkan ingatan, sebenarnya kurma juga adalah setanding. Mungkin atas alasan pihak-pihak tertentu atau negara pengeluar anggur telah menjalankan kempen makan kismis dan mempopularkan khasiatnya.

Kurma diakui sebagai buah berkhasiat dan sebagaimana Firma Allah s.w.t. dalam surat Al-Mukminah ayat 19

“Kemudian Kami tumbuhkan kerananya kebun kurma dan anggur untuk kamu. Disana kamu peroleh buah-buahan yang banyak dan sebahagiannya kamu makan”.

Umat Islam digalakkan berbuka dengan kurma bersandarkan sabda Rasulullah s.a.w. yang mana maksudnya “Rumah yang tiada kurma seperti rumah yang tidak mempunyai makanan”. Kurma diangkat tinggi oleh Rasulullah kerana mempunyai nilai kandungan makanan yang tinggi.

Dalam bidang perubatan dengan ketiadaan kolestrol, lemak dan gula di dalam kurma, ia amat baik untuk meredakan tekanan darah tinggi. Dalam perubatan homeopathy, biji kurma dikisar halus atau dijadikan serbuk seperti teh, direndam dan diminum bagi menyembuhkan pelbagai jenis penyakit. Melalui petua tertentu, kurma dimakan bersama badam dan madu untuk menyembuhkan penyakit. Kurma dikatakan menambah tenaga batin.

Jus buah kurma mungkin baru dinegara ini. Dinegara pengeluar selain dimakan segar, kering atau salai, kurma dibuang biji dan diganti dengan kacang tanah, badam atau gajus bagi menambahkan keenakannya. Kurma juga dibuat jem, sirap atau bahan tambahan dalam aiskrim.

Kita seharusnya memakan buah kurma bukan hanya dalam bulan puasa sahaja. Kurma baik dijadikan pengganti makanan ringan yang hanya mengandungi karbohidrat, garam, lemak dan gula berlebihan yang boleh membawa pelbagai jenis penyakit.

Ketibaan bulan Ramadan tidak meriah tanpa dapat menikmati buah tamar sebagai juadah berbuka puasa. Seperti menjadi satu kewajipan bagi setiap rumah untuk membelinya tidak kira dari jenis, gred yang paling rendah atau yang paling mahal seperti tamar ajwah (or agwah??) ‘pure’ Madinah yang berharga RM120.00 sekilo pada hari biasa manakala pada bulan Ramadhan harganya menjadi lebih mahal.

Tamar juga menurut kajian sains merupakan buah yang khasiat dan kandungan gulanya cepat meresap ke dalam tubuh. Kita selalu mendengar kisah-kisah Rasulullah s.a.w. dengan pohon tamar. Nyata pohon tamar punya sejarah yang cukup unik dan masih ramai tidak mengetahuinya.

Asal-usul kejadian pokok tamar adalah dari lebihan tanah yang Allah s.w.t. ciptakan Nabi Adam a.s. Pokok tamar betina tumbuh pada zaman Siti Maryam. Selepas Maryam melahirkan anaknya Nabi Isa a.s., Siti Maryam telah diminta oleh Allah s.w.t untuk menggoncangkan pohon tamar yang terdapat di tempat dia melahirkan anaknya lalu gugurlah buah tamar masak dan di makan oleh Siti Maryam.

Itulah sejarah yang pertama menjadi ubat khasiat kepada manusia. Siti Maryam

dapat mengalas perut untuk mengumpul tenaga selepas selamat bersalin hanya dengan makan tamar, tanpa tumbuhan herba yang lain. Ditakdirkan Allah s.w.t. dengan kelahiran Nabi Isa a.s. itu juga, Allah s.w.t. telah tumbuhkan pokok tamar jantan di sebelah pokok tamar betina. Dan untuk tujuan mendapat hasil buah tamar yang elok ia juga harus dilakukan menerusi kaedah ‘kahwin bunga’ (melakukan proses pendebungaan betina dengan debu bunga jantan).

Untuk mengenali perbezaan di antara tamar jantan dengan tamar betina, tamar jantan lebih tinggi pohonnya, berdaun keras menjulang ke langit.Pokok tamar betina rendah sedikit dan daunnya melintuk ke bawah. Pada bulan februari pohon tamar jantan berbunga setahun sekali sama dengan tamar betina . Bezanya bunga jantan ia mengeluarkan debu-debu halus. Pada bulan ini ketika tamar betina mengeluarkan bunga, petugas (terdiri dari mereka yang berbangsa Arab) akan memanjat pokok tamar betina dan dijalankan proses kahwin bunga, ditepuk-tepuk,disapu dua tiga ranting bunga jantan kepada setandan bunga betina yang berkembang dari tandannya.

Ternyata untuk menghasilkan buah tamar yang elok berkualiti, ia mesti ‘disenyawakan’ oleh tangan manusia, tidak boleh melalui binatang atau diterbangkan oleh angin. Pokok tamar tidak akan berbuah dengan sempurna jika tidak dicantum oleh tangan manusia. Buah tamar tidak akan masak jika suhu kurang dari 55° C.

Bulan Julai adalah musim tamar masak ranum manakala bulan ogos adalah musim menuai.
bagi sebuah kebun memadai ada beberapa batang sahaja pokok tamar jantan berbanding dengan ratusan pokok tamar betina, kerana debunga pada satu dahan pohon tamar jantan boleh digunakan untuk proses pendebungaan dengan ratusan tandan pada pokok tamar betina. Debu yang perlu digunakan pada setiap pokok terlalu sedikit. Bunga jantan ini juga boleh disimpan di tempat yang kering untuk kegunaan berulang-ulang kali selagi debunganya masih ada. “Allah s.w.t. jadikan buah tamar cukup istimewa. Cuba perhatikan sepanjang ia berada di atas pokok tidak ada seekor binatang atau burung yang mematuk atau merosakkannya. Ini kerana buah tidak berbau. Allah s.w.t pelihara dan memuliakannya. Ia mesti disenyawakan oleh tangan manusia. Di Madinah hanya bangsa Arab sahaja yang sanggup panjat dan turun naik ke atas pokok tamar untuk lakukan kerja pencantuman ini. Bangsa lain tak mampu, tenaga tak sekuat bangsa ni.”
Debu bunga jantan bila di gosok pada tangan dan cium baunya seperti air mani
bau ini bukan semua makhluk suka. Pokok tamar kalau mahukan buahnya elok, ia mesti disenyawakaan oleh tangan manusia, sebab pokok ini Allah s.w.t. jadikan dari lebihan tanah kejadian Nabi Adam a.s.”
Sebab itu kita tak boleh pandang remeh padanya. Rasulullah s.a.w. dan Nabi-Nabi lain sangat sayang padanya. Sebab itu dikatakan sebaik-baik buah yang serasi dengan badan kita adalah buah tamar kerana ia sebahagian dari kita. Jadi setiap kali menjamah tamar ingat-ingatlah asal kejadiannya. Buah ini tidak berbau kerana Allah s.w.t. nak pelihara kesuciannya di samping mudah untuk kita menguruskannya dengan kelebihan cuaca yang panas kering. Penjual tak risau lalat atau semut kerana bumi barakah ini.


Petikan artikel dari Majalah Anis keluaran Oktober 2005

Monday, August 16, 2010

Puasa & Kesihatan

Ramai juga orang di zaman moden ini yang berpuasa atas sebab-sebab kesihatan, sama ada untuk menjalani pemeriksaan/pembedahan atau untuk menyihatkan badan.

Satu contoh yang utama ialah apabila pesakit dikehendaki berpuasa selama beberapa jam sebelum menjalani pembedahan atau prosedur-prosedur yang memerlukan penggunaan ubat bius Ini kerana makanan di dalam perut boleh mengurangkan keberkesanan ubat bius itu. Satu lagi contoh ialah apabila menjalani sesetengah pemeriksaan kesihatan, biasanya kita akan diminta berpuasa supaya garis dasar (baseline) dapat dikenal pasti. sebelum menjalani pembedahan atau prosedur-prosedur yang memerlukan penggunaan

Ada juga orang yang berpuasa sebagai salah satu cara berdiet. Biasanya mereka perlu berpuasa agak lama, sekurang-kurangnya seminggu sebelum ia berkesan. Namun, mereka mungkin masih mengambil makanan sihat, seperti jus buah-buahan ataupun sayur-sayuran.

Sebuah kajian yang agak baru ke atas tikus mendapati bahawa berpuasa selang sehari, dan memakan dua kali ganda lebih banyak pada hari-hari tidak berpuasa memberikan kawalan insulin yang lebih baik dan ketahanan neuron daripada kecederaan. Kesan-kesan ini hampir sama dengan tikus-tikus yang diberi diet kalori terhad. Ini mungkin bermakna berpuasa selang sehari merupakan satu alternatif kepada pengehadan kalori untuk hidup yang lebih sihat dan lama.

Ini adalah kerana badan manusia menggunakan lebih kurang satu pertiga keseluruhan tenaga semasa masa jaga. Apabila badan sentiasa menggunakan tenaga tetapi tiada makanan yang diambil, badan manusia akan mencari sumber tenaga yang lain, seperti glukosa daripada simpanan glikogen di dalam limpa, asid lemak daripada lapisan lemak yang disimpan, dan akhirnya daripada tisu-tisu protein yang penting. Badan manusia tidak mempunyai masalah untuk bergantung dengan asid lemak, tetapi otak dan sistem saraf bergantung kepada glukosa. Apabila simpanan glukosa ini telah hampir habis, badan manusia mula menghasilkan ketone bodies (acetoactate, hydroxy-butyrate, and acetone) daripada protein. Kehabisan sumber protein ini boleh menyebabkan kematian. Jadi, para doktor amat menggalakkan pemakanan yang berkhasiat sahaja apabila hendak berpuasa.

Selain itu, terdapat beberapa lagi kebaikan berpuasa untuk kesihatan, seperti:

1. memberi kerehatan kepada perut untuk meningkatan kecekapan
2. menghancurkan sisa-sisa racun atau toksik di dalam darah manusia
3. mengurangkan/menghapuskan ketagihan terhadap arak dan rokok

Hasilnya, kesihatan manusia akan bertambah baik. Berat badan dan risiko-risiko penyakit yang berkaitan dengan kegemukan dapat dikurangkan, dan umur seseorang itu boleh bertambah panjang.

Wednesday, August 11, 2010

Hikmah Solat Sunat Tarawih


مَنْ آمَنَا بِاللهِ وَبِرَسُوْلِهِ وَاَقَامَ الصَّلاَةِ وَصَامَ رَمَضَانَ كَانَ حَقًّا عَلَى اللهِ اَنْ يُدَخِّلَهُ الْجَنَّةَ.

"Sesiapa yang beriman kepada Allah dan RasulNya, mendirikan solat dan berpuasa di bulan Ramadan, maka adalah satu kebenaran atas Allah memasukkannya ke syurga"

Malam ke-1:
Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama seperti ia baru dilahirkan, mendapat ampunan dari Allah.
Malam ke-2:
Dosa-dosa orang mukmin yang sholat tarawih serta kedua ibu bapaknya (sekiranya mereka orang beriman), telah diampuni Allah.
Malam ke-3:
Berserulah malaikat di bawah ‘Arasy’ supaya dapat meneruskan sholat tarawih terus-menerus sehingga Allah akan mengampuni dosa Anda.
Malam ke-4:
Membaca kitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran untuk memperoleh pahala.
Malam ke-5:
Allah mengurniakan pahala seperti orang sholat di Masjidil Haram, Masjid Madinah dan Masjidil Aqsa.
Malam ke-6:
Allah mengurniakan pahala dari malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul Ma’mur (70 ribu malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah-tanah mendoakan supaya Allah mengampuni dosa-dosa orang yang mengerjakan sholat tarawih pada malam ini.
Malam ke-7:
Seolah-olah bertemu dengan Nabi Musa serta menolong Nabi AS menentang musuh ketatnya Fi’raun dan Hamman.
Malam ke-8:
Allah mengurniakan pahala kepada orang shalat tarawih seperti yang telah dikaruniakan kepada Nabi Allah Ibrahim AS.
Malam ke-9:
Allah mengurniakan pahala dan menaikkan mutu ibadah hambanya seperti Nabi Muhammad S.A.W.
Malam ke-10:
Allah SWT mengurniakan kebaikan di dunia dan akhirat.
Malam ke-11:
Anda akan keluar seperti baru dilahirkan dan bersih daripada dosa dan dunia (mati).
Malam ke-12:
Allah datang pada hari kiamat dengan muka yang bercahaya (cahaya ibadahnya).
Malam ke-13:
Allah datang pada hari kiamat dalam aman sentosa untuk tiap-tiap kejahatan dan keburukan.
Malam ke-14:
Malaikat datang menyaksikan proses shalat tarawih, dan Allah tidak akan menghukumnya di hari kiamat.
Malam ke-15:
Semua malaikat akan menanggung Arasy, Kursi, berselawat dan mendoakan supaya Allah mengampuni dosa Anda.
Malam ke-16:
Allahsubhanahuwata’ala tertulis baginya, terlepas daripada neraka dan masuk ke surga.
Malam ke-17:
Allah mengurniakan orang yang bertarawih pahalanya pada malam ini sebanyak pahala Nabi-Nabi.
Malam ke-18:
Malaikat berseru, “Hai hamba Allah sesungguhnya Allah telah redha kepada engkau dan ibu bapa engkau (yang masih hidup atau mati)”.
Malam ke-19:
Allah Subhanahuwataala tinggikan derajatnya di dalam syurga Firdaus.
Malam ke-20:
Allah mengurniakan pahala kepada orang yang mati syahid dan orang-orang solihin.
Malam ke-21:
Allah membangun sebuah istana dalam syurga daripada nur.
Malam ke-22:
Allah datang pada hari kiamat, membahagiakan tiap orang yang berdukacita dan menghadapi kerisauan.
Malam ke-23:
Allah Subhanahuwataala membangun sebuah bandar di dalam surga daripada nur.
Malam ke-24:
Allah membuka peluang 24 doa yang mustajab bagi orang bertarawih malam ini.
Malam ke-25:
Allah Taala mengangkat Anda dari siksa kubur.
Malam ke-26:
Allah mengaruniakan pahala kepada orang bertarawih pada malam ini seperti 40 tahun ibadat.
Malam ke-27:
Allah mengaruniakan orang bertarawih pada malam ini, segala kekuatan melewati titian Sirotolmustaqim seperti kilat menyambar.
Malam ke-28:
Allah Subhanahuwataala mengurniakan pahala 1000 darjat di akhirat.
Malam ke-29:
Allah Subhanahuwataala mengurniakan pahala 1000 kali haji yang mabrur.
Malam ke-30:
Allah Subhanahuwataala beri penghormatan kepada orang bertarawih pada malam terakhir.

Dan diriwayatkan dari Amr bin Murrah al-Juhani radiallahu 'anhu:

"Datang seorang lelaki kepada Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam lalu ia berkata: Ya Rasulullah! Apa pendapatmu jika aku bersaksi bahawa tidak ada sesembahan yang hak kecuali Allah, engkau adalah Rasulullah, aku solat lima waktu, aku tunaikan zakat, aku berpuasa Ramadan dan solat tarawih di malam harinya, termasuk golongan manakah aku? Baginda menjawab: Termasuk golongan siddiqin dan syuhada"

Tuesday, August 10, 2010

Hikmah Puasa Ramadhan


السلام عليکم
Oleh: Ustaz Syed Hasan Alatas

"Wahai orang-orang yang beriman ! Diwajibkan kepada kamu puasa sebagaimana telah diwajibkan atas orang-orang yang sebelum kamu,supaya kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa." (S.al-Baqarah:183)

PUASA menurut syariat ialah menahan diri dari segala sesuatu yang membatalkan puasa (seperti makan, minum, hubungan kelamin, dan sebagainya) semenjak terbit fajar sehingga terbenamnya matahari,dengan disertai niat ibadah kepada Allah,kerana mengharapkan redha-Nya dan menyiapkan diri juga meningkatkan Taqwa kepada-Nya.

RAMAHDAN bulan yang banyak mengandungi Hikmah didalamnya.Alangkah gembiranya hati mereka yang beriman dengan kedatangan bulan Ramadhan. Bukan sahaja telah diarahkan menunaikan Ibadah selama sebulan penuh dengan balasan pahala yang berlipat ganda,malah dibulan Ramadhan Allah telah menurunkan kitab suci al-Quranulkarim,yang menjadi petunjuk bagi seluruh manusia dan untuk membezakan yang benar dengan yang salah.

Puasa Ramadhan akan membersihkan rohani kita dengan menanamkan perasaan kesabaran, kasih sayang, pemurah, berkata benar, ikhlas, disiplin, terhindar dari sifat tamak dan rakus, percaya pada diri sendiri, dan sebagainya.

Meskipun makanan dan minuman itu halal, kita mengawal diri kita untuk tidak makan dan minum dari semenjak fajar hingga terbenamnya matahari,kerana mematuhi perintah Allah.Walaupun isteri kita sendiri, kita tidak mencampurinya diketika masa berpuasa demi mematuhi perintah Allah s.w.t.

Ayat puasa itu dimulai dengan firman Allah:"Wahai orang-orang yang beriman" dan disudahi dengan:" Mudah-mudahan kamu menjadi orang yang bertaqwa."Jadi jelaslah bagi kita puasa Ramadhan berdasarkan keimanan dan ketaqwaan.Untuk menjadi orang yang beriman dan bertaqwa kepada Allah kita diberi kesempatan selama sebulan Ramadhan,melatih diri kita,menahan hawa nafsu kita dari makan dan minum,mencampuri isteri,menahan diri dari perkataan dan perbuatan yang sia-sia,seperti berkata bohong, membuat fitnah dan tipu daya, merasa dengki dan khianat, memecah belah persatuan ummat, dan berbagai perbuatan jahat lainnya.Rasullah s.a.w.bersabda:

"Bukanlah puasa itu hanya sekadar menghentikan makan dan minum tetapi puasa itu ialah menghentikan omong-omong kosong dan kata-kata kotor."
(H.R.Ibnu Khuzaimah)

Beruntunglah mereka yang dapat berpuasa selama bulan Ramadhan, kerana puasa itu bukan sahaja dapat membersihkan Rohani manusia juga akan membersihkan Jasmani manusia itu sendiri, puasa sebagai alat penyembuh yang baik. Semua alat pada tubuh kita senantiasa digunakan, boleh dikatakan alat-alat itu tidak berehat selama 24 jam. Alhamdulillah dengan berpuasa kita dapat merehatkan alat pencernaan kita lebih kurang selama 12 jam setiap harinya. Oleh karena itu dengan berpuasa, organ dalam tubuh kita dapat bekerja dengan lebih teratur dan berkesan.

Perlu diingat ibadah puasa Ramadhan akan membawa faaedah bagi kesihatan rohani dan jasmani kita bila ditunaikan mengikut panduan yang telah ditetapkan, jika tidak maka hasilnya tidaklah seberapa malah mungkin ibadah puasa kita sia-sia sahaja.

Allah berfirman yang maksudnya:

"Makan dan minumlah kamu dan janganlah berlebih-lebihan sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan." (s.al-A'raf:31)

Nabi s.a.w.juga bersabda:

"Kita ini adalah kaum yang makan bila lapar, dan makan tidak kenyang."

Tubuh kita memerlukan makanan yang bergizi mengikut keperluan tubuh kita. Jika kita makan berlebih-lebihan sudah tentu ia akan membawa mudarat kepada kesihatan kita. Boleh menyebabkan badan menjadi gemuk, dengan mengakibatkan kepada sakit jantung, darah tinggi, penyakit kencing manis, dan berbagai penyakit lainnya. Oleh itu makanlah secara sederhana, terutama sekali ketika berbuka, mudah-mudahan Puasa dibulan Ramadhan akan membawa kesihatan bagi rohani dan jasmani kita. InsyaAllah kita akan bertemu kembali.

Allah berfirman yang maksudnya: "Pada bulan Ramadhan diturunkan al-Quran pimpinan untuk manusia dan penjelasan keterangan dari pimpinan kebenaran itu, dan yang memisahkan antara kebenaran dan kebathilan. Barangsiapa menyaksikan (bulan) Ramadhan, hendaklah ia mengerjakan puasa. (surah al-Baqarah:185)

Saturday, July 31, 2010

Koleksi anak2ku

Hehehe tidak tahulah mahu update apa di blog ni.Tiada idea , yang ada kat kepala hanya tentang anak-anak ku. Hehehe anak-anak penyeri hati dan kegembiraan.
Entry kali ini mahu cerita perihal anak-anak perempuan ku yang comel dan cute ni.Jangan perasaan Isyah dan Humairah, abah saja mahu cantikkan statement ni hahaha.
Ni merupakan mug kesayangan anak-anak yang dua org ni. Hari tu pergi ke kedai cenderahati dengan Umar, jadi nampak mug pink ni. Memandangkan Humairah dan Isyah ni suka colour pink jadi aku pun nak belilah. Ingatkan nak beli 3 untuk anak bujang ku Umar ni, tapi dia tak nak. Katanya minum mug atau gelas biasa pun hilang juga dahaga. Hehehe ni aku sayang dengan Umar, pemikiran yang agak matang walaupun stay kanak-kanak lagi. Moga hingga ke besarlah peel ni.amin
Berbalik pada anak ku Isyah dan Humairah. Budak dua ni suka sangatlah mug ni, huh orang lain tak boleh guna mug ni, hehe kecuali aku sebab aku yang beli hahaha.
Tapi dari sudut hatiku , puji comel juga mug budak-budak ni , minum kat mug ni macam sedap ja. Mungkin sebab dahaga kot. Hehehe

Friday, July 30, 2010

Koleksi anak2 Ku

Ini adalah antara barang kesayangan anak-anak ku . Nurbatrisyah, Umar dan Humairah. Kadang-kadang aku jadi pelik kenapalah budak-budak ni suka sangat simpan benda-benda ni, tapi kadang kala tengok benda-benda ni buat aku jadi tersenyum sendiri.
Walaupun banyak karenah tapi inilah kebahagian ku sebagai seorang bapa. Bersyukur sangat atas rahmat yang Allah berikan ini.
Ini adalah basikal anak ku Umar. Macam-macam terjadi pada basikal ini anak ku kerjakan. Ada sekali dia marah kat aku, dia bocorkan tayar basikal ni. Lama juga dia marah pada ku, lepastu aku baiki basikal ni. Dak Umar ni pun main semula la basikal ini, bawa p rumah Tok Ayah dia.
Umar sayang sangat basikal ini, setiap hari aku lihat, dia akan membersihkan basikalnya sampai berkilat-kilat.
Tapi satu kejadian aku rasa nak marah tapi nak tergelak juga. Ada sekali petang tu aku bawalah budak-budak ni ketempat aku mengajar. Petang tu aku ada kelas tambahan, jadi aku bawalah budak-budak ni sekali. Aku dah bagitahu main kat padang sekolah ni saja jangan keluar pergi atas bukit tu. Selepas tu aku pun masuk kelaslah.
Mula-mula aku tengok budak-budak ni ada lagi kat padang tu, adalah dalam setengah jam aku tengok budak dua ni tak ada dah kat padang. Dalam hati aku "mesti pergi ke bukit tu". Tekaan aku tepat, bila aku p tengok, aku tengok dua beradik ni dah tergolek dengan basikal mereka. Aku rasa nak marah ja, tapi bila tengok dan dengar yang adik tu cakap pada abang dia kat telinga "abang jangan nangis ya nanti abah marah pada kita ni". Aku rasa nak pecah gelak ja, tapi aku tahan, aku tolong budak-budak ni.
Lepas tu aku bawa budak-budak ni p bilik , aku bersihkan mana-mana kotor dan beri minum budak dua ni. Masa tu lah baru menangis budak-budak ni. Aku bawa p klinik umar dan humairah ni, keran yang abang tu tangan dia ada luka-luka, yang adik bibir pecah ja. Jadi dapat cutilah dua hari budak-budak ni.

Thursday, July 29, 2010

Suri di Hati ku


Perkenalkan suri di hati ku..


Menjadi sayap dan tulang belakang ku..

Jalan2 Makan2

Banana Split
Semalam keluar jalan-jalan bersama isteri, adik dan anak-anak. Jalan sekitar KL sahaja. Lepas tu pergi makanlah di KLCC heheh memang budak-budak ni berniat pun mahu makan sana. Kununnya mahu makan ayam penyet, tapi sampai sana jadi ubah selera pula makan makanan masala.

Lepas tu budak-budak ni makan dessert Banana Split dan minum coffea latte. Heheh sedap juga dan happy tengok budak-budak ni makan. Kegembiran keluarga ku adalah kegembiraan ku.





Thursday, July 22, 2010

Pesanan terbaik dari seorang rakan

Entry ini copy daripada email untuk panduan dan pegangan kita semua.

Assalamualaikum
Sekadar menyampaikan. ......

Pesanan terbaik dari seorang rakan....

Just wanna share with everyone kisah benar yang saya lalui. Baru- baru ni ketika saya nak ke Surau berdekatan dgn rumah saya untuk sembahyang Isyak, seorang pak cik berjanggut putih dan berjubah putih dari jauh melemparkan senyum kepada saya. Kerana masih ada banyak waktu, saya tunggu pak cik berjanggut putih tu dan bertongkat yang tidak saya kenali itu.. Timbul di hati saya untuk jalan seiringan ke surau.

Bila beliau hampir pada saya, kami saling memberi salam. Orangnya sudah berumur. Tiba-tiba, pak cik itu memulakan perbualan. Beliau cakap dalam bahasa Melayu dan Inggeris yang agak baik. Beliau cakap semua ayat Quran baik dan penting, tapi ada
tiga surah yang beliau 'pegang' betul-betul , dan beliau nasihatkan saya supaya pegang betul-betul juga. Beliau juga nasihatkan saya supaya pesan pada anak-anak supaya pegangnya betul-betul.

Pertama, kata beliau, surah Al-Fatihah. Selain penting untuk sah sembahyang, ia juga ada doa minta bantuan Tuhan dan mintak tunjukkan jalan yang betul. Mudah-mudahan dengan 'menjaga' bersungguh-sungguh surah Al-Fatihah, akan terbuka pintu bantuan dan jalan yang betul untuk kita, kata pakcik.

Kedua,
Surah Al-Ikhlas . Surah ini, katanya, s urah tauhid.
Kita mesti ingat Tuhan itu Esa dan semua amalan mesti untuk-Nya. Tak guna buat baik tapi tak ikhlas.

Ketiga, surah
Al-Kafirun , kata pak cik. Bahagian ini, menarik sikit. Pak cik tu cakap surah Al-Kafirun ada kena mengena dengan zaman sekarang, zaman globalisasi. Dalam zaman globalisasi, katanya, anak-anak saya mesti diajar supaya pegang betul-betul surah itu. Sebab, dalam zaman globalisasi, anak saya mungkin kena kerja atau belajar sampai ke Amerika atau ke mana-mana.

Kalau dia pegang pada surah Al-Kafirun, insya-Allah, dia akan selamat, kata pak cik. Dia akan bergaul dengan orang beragama lain, tapi dia sedar
'untukmu agamamu, untukku agamaku' .
Betul juga, fikir saya. Kemudian, pak cik cakap ada satu lagi perkara yang saya mesti pegang. Orang Islam, katanya, mesti ada tiga kekuatan.

Pertama, kekuatan minda

Minda, kata pak cik, ialah ilmu. Orang Islam mesti ada ilmu, termasuk ilmu moden, ilmu teknologi, ilmu teknologi maklumat (IT) dan > sebagainya kerana ilmu-ilmu itu perlu untuk hidup.

Kedua, kekuatan hati

Hati ialah iman, kata pak cik. Hati orang Islam mesti kuat supaya betapa banyak sekali pun ilmunya, dia sedar siapa yang lebih berkuasa. Bila ilmu ada iman, barulah ilmu dan hidup jadi betul. Kala u minda kuat tapi hati tak kuat, maknanya kekuatan tak seimbang dan ilmu boleh rosakkan iman, kata pak cik...

Ketiga, kuat fizikal

Pertama-pertama, kalau tubuh badan lemah, susah ilmu nak masuk dalam minda, kata pak cik. Kala u pun ada ilmu dan ada iman, jika tubuh badan tak kuat, susah nak beramal. Maknanya, kekuatan masih tak seimbang, katanya
.

Habis saja pak cik cakap pasal tiga surah dan tiga kekuatan, beliau minta diri dan hilang dari pandangan saya setiba nya di surau tersebut.
Terima kasih kepada pak cik berjanggut tu. Sebelum itu beliau berpesan agar saya sebarkan kepada yang lain. Pesanannya memang baik untuk saya sampaikan..

Iqra'.....!

Take a break....... .meditate. ..3 minutes & calm your mind...
Recite 3x :
1. Katakanlah (wahai Muhammad); " (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa;
2. "Allah Yang menjadi tumpuan sekelian makhluk untuk memohon sebarang hajat;
3. 'Ia tidak beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan;
4. "Dan tidak ada sesiapa pun yang setara dengan-Nya".

Setelah baca , forwardkan email ini kepada seberapa banyak rakan-rakan anda.
Bayangkan betapa besarnya RAHMAT yang Allah turunkan. Insyaallah.

Wassalam .

Wednesday, July 21, 2010

Sajak Buat Isteriku


Isteriku..
Jadilah seorang wanita sholihah,
Yang hatinya dibalut rasa taqwa kepada ALLAH,
Yang jiwanya penuh penghayatan terhadap Deen ALLAH,
Yang senantiasa haus dengan ibadah kepada ALLAH,
Yang senantiasa dahaga akan mengharap ridho ALLAH
Yang sholatnya adalah bekal dirinya,
Yang tidak pernah takut untuk berkata benar,
Yang tidak pernah gentar untuk melawan nafsu,
Yang senantiasa bersama para Mujahiddah ALLAH

isteriku...
Jadilah seorang wanita sholihah
Yang menjaga tutur katanya,
Yang tidak bermegah dengan ilmu yang dimilikinya,
Yang tidak bermegah dengan harta dunia yang dicarinya,
Yang senatiasa berbuat kebajikan karena sifatnya
yang penyayang,
Yang mempunyai ramai kawan dan tidak
mempunyai musuh yang bersifat jahat

Isteriku...
Jadilah seorang wanita sholihah
Yang menghormati suaminya.
Yang senantiasa berbakti kepada orang tua
dan keluarga,
Yang bakal menjaga kerukunan rumahtangga,
Yang akan mendampingi suami dalam mendidik
anak-anaknya untuk mendalami Islam,
Yang mengamalkan hidup penuh kesederhanaan,
Karena dunia baginya adalah rumah
sementara menuju akhirat.

Isteriku...
Jadilah seorang wanita sholihah,
Yang senatiasa bersedia untuk menjadi
makmum imamnya
Yang hidup di bawah naungan al-Quran
dan qona'ah
Yang tidak dikotori dengan perhiasan dunia
Yang menjaga matanya dari berbelanja,
Yang sujudnya penuh kesyukuran dengan
rahmat ALLAH ke atasnya.

Isteriku...
Jadilah seorang wanita sholihah
Yang selalu menjaga lisan, penyayang keluarga
& suaminya,
Matanya kepenatan karena membaca al-Quran,
Suaranya lesu karena penat berzikir,
Tidurnya lelap dengan cahaya keimanan,
Bangunnya Subuh penuh kesigapan
Karena dia sadar betapa indahnya menjadi wanita
sholihah melebihi perhiasan apapun didunia
Semakin sadar bertambah usianya bertambah
kematangannya.

Duhai isteriku..
Jadilah seorang wanita sholihah
Yang tidak terpesona dengan buaian dunia,
Karena dia mengimpikan syurga ALLAH.

Selamat Hari Ulang Tahun Sayang


Untuk mu sayang ku..
Hari ini genaplah usia perkahwinan kita setahun. Semoga jodoh kita ini akan berkekalan untuk selamanya. Dan di harap hingga ke akhirnya sekira di izinkan-NYA.
Tiada apa hadiah atau bentuk cenderahati yang dapat ku berikan untuk mu Sayang. Ku tidak seperti mereka yang lain yang mampu berbuat apa sahaja untuk mu dan mencukupkan semua keperluan mu. Hanya doa ku saja yang mampu ke berikan untuk mu di setiap sujud ku pada-NYA moga kau menjadi yang terbaik di antara yang terbaik. Dan mendapat tempat yang elok di kehidupan yang kelak.
Semoga diri mu menjadi lagi tabah selepas ini. Ini sahaja yang aku harap dari diri mu sayang ku..

Saturday, July 17, 2010

Pertengkahan Dalam Alam Rumahtangga

"Sedangkan lidah lagikan tergigit, inikan pula suami isteri"

Tiada orang yang tak pernah bertengkar seumur hidup. Jarang kita temui sesebuah rumahtangga yang tak pernah bertengkar sekali pun semenjak hidup bersama kerana hidup yang tiada pertengkaran adalah hidup yang bersendirian. Hampir seluruh perkahwinan mengalami pertengkaran, meskipun ramai orang malu mengakuinya.

Sebenarnya jika sebuah perkahwinan tanpa pertengkaran sama sekali membuktikan matinya emosi. Bukanlah bererti pertengkaran itu baik namun pertengkaran juga mendatangkan kebaikan dan keburukan. Jika terjadi pertengkaran kerana sesuatu yang tidak diingini berlaku dalam diri pasangan hidup. Tujuannya adalah agar sesuatu yang tidak baik itu hilang dari pasangannya, baik dalam bentuk peribadi maupun pekerjaannya. Sebenarnya pertengkaran itu sebagai petanda awal dari sebuah Perkahwinan. Di mana suami isteri mulai cuba untuk menyatukan selera, tujuan dan keperluan hidup mereka. Jika mereka takut berbincang kerana khuatir akan berlaku pertengkaran, akhirnya ia akan menimbulkan masalah yang lebih besar pada masa akan datang.

Jika suami isteri bertengkar secara kecil-kecil tidak membawa kepada pergaduhan, akhirnya mereka akan dapat mengatasi perselisihan dan kemudiannya mereka akan merasa lebih akrab.
Jika seorang suami merasa marah terhadap seseorang di tempat kerjanya, setelah pulang ke rumah, mungkin ia akan meluahkan rasa marahnya itu pada isterinya. Jika anda berpendapat suatu kemarahan harus diluahkan, maka anda akan meluahkan pada isteri anda. Pada hal dalam Islam, kita disuruh bersabar.

Jika pertengkaran tidak dapat dielakkan lagi kerana mungkin salah menyampaikan sesuatu ataupun pasangan kita tidak mahu menerima hakikat diri kita, maka usahakanlah agar pertengkaran itu tidak membawa bencara. Perhatikan keadaan persekitaran agar tiada pihak lain ikut sama atau menjadi tekanan perasaan.

Cara-cara menghadapi Pertengkaran

1. Jika terjadi pertengkaran, maka janganlah mencari kelemahan pasangan kita. Dan tidak wajar pertengkaran tersebut hanya ingin mencari kemenangan. Tetapi usahakanlah untuk menyelesai kan masalah secara bersama.
2. Jika pertengkaran itu berkaitan tentang satu topik, janganlah masalah-masalah lain dimasukkan sama kerana ia akan menjadikan suatu pertengkaran yang besar yang boleh membawa bencana.
3. Batasi kekasaran jika berlaku pertengkaran. Jangan bertindak menggunakan fizikal seperti memukul, melemparkan barang dan sebagainya. Cara ini tidak akan menyelesaikan masalah malah akan menimbulkan masalah yang lebih besar.
4. Di dalam pertengkaran, gunakan bahasa yang sesuai agar pasangan tidak tertekan. Kata-kata yang menyakitkan hatinya seperti: "Ini semua salah kamu...!", "Engkau bodoh...!", "Engkau selalu melakukan kesalahan...!" dan sebagainya. Sebaliknya gunakanlah perkataan yang lembut seperti, “Hati saya luka kerana perbuatan itu...", "Kamu tak sedar, betapa hancurnay hati saya..." dan lain-lain.
5. Setelah bertengkar, jangan biasakan diri suka menyendiri, kemudian menjauhkan diri dari pasangan hidup. Jangan memisahkan diri kerana ia tiada nilainya sama sekali dalam perkahwinan. Bahkan ia merugikan hubungan suami isteri.
6. Jangan cuba menggunakan seks atau wang untuk membalas pertengkaran inikan menyebabkan terjadinya pertengkaran yang lebih hebat.
7. Jangan membiarkan pihak ketiga ikut serta dalam pertengkaran keluarga. Kehadiran pihak ketiga misalnya mertua, ipar, adik beradik hanya akan menambahkan kecurigaan dan mungkin menambah menyala api pertengkaran. selesaikan secara baik antara suami isteri.
8. Jangan bertengkar di depan anak-anak kena ini akan menjadikan anak-anak bingung dan tertekan perasaan. Jika ini berlaku, akan wujud banyak lagi masalah lain.

Ss 17/July/2010

Monday, July 12, 2010

Bukan Senang Menjadi Suami


Bukan mudah menjadi suami,
Harus bertanggungjawab terhadap keluarga,
Ibu dan juga isteri,
membahagiakan mereka berdua,
mentaati ibu dan juga menjaga hati isteri,

Bukan mudah menjadi suami,
harus mendidik isteri dan anak-anak ke jalan ALLAH,
memberi makan isteri dan anak-anak dari jalan yang halal,
memperlakukan isteri dengan sabar dan ikhlas,
harus memimpin rumahtangga dengan kebijaksanaan dan bukan perasaan,

Bukan mudah menjadi suami,
jangan bermimpi beristeri ramai,
jikalau satu pun tidak mampu di jaga dan di didik dengan sempurna,
apatah lagi di tambah dengan dua atau tiga,

Begitulah sang suami,
fahamilah tanggungjawab kita,
yang diamanahkan semasa kita menjawab akad untuk seorang wanita,
yang menjadi isteri kita,
fahamilah amanah kita,
yang diberikan oleh ALLAh kepada kita.

Untukmu Umi


Umi...
Setiap deras degupan jantungku
Engkau mampu merasanya
Ketika aku:
Sedih
Gembira
Gelisah
Naluri ibumu
Bagaikan sebati dalam diriku

Ketika aku sedih
Kaulah ubat kepada duka laraku
Menceriakan dan menghakis
Perasaan yang melunturkan
Semangatku

Ketika aku gembira
Engkau juga turut berkongsi
Kegembiraan yang menyinari saat
Aku hidup di muka bumi ini
Sebagai manusia

Pabila gelisah menyelubungi jiwaku
Engkau masih bersamaku
Menolong menyelesaikan
Masalah yang tak sudah-sudah mengusutkan
Perjalanan hidupku

Umi..
Terima Kasih atas segala pengorbanan mu
terhadap anak2 mu ini..
tidak terbalas dengan apa sekali pun
yg ada di dunia fana ini..

Umi..
sesungguhnya..anakmu ini
merindui mu...tiap detik yg berlalu...
kau lah wanita terhebat di hati
ini...

Thursday, April 8, 2010

HIKMAH PERKAHWINAN


*Cara yang halal untuk menyalurkan nafsu seks.Melalui ini perzinan.Liwat dan pelacuran sebagainya dapat dielakkan.
*Untuk memperolehi ketenangan hidup, kasih sayang dan ketenteraman.
*Memelihara kesucian diri.
*Melaksanakan tuntutan syariat.
*Menjaga keturunan.
*Sebagai media pendidikan: Islam begitu teliti dalam menyediakan persekitaran yang sihat bagi membesarkan anak-anak.Kanak-kanak yang dibesarkan tanpa perhubungan ibu bapa akan memudahkan si anak terjerumus dalam kegiatan tidak bermoral. Oleh itu, institusi kekeluargaan yang disyorkan Islam dilihat medium yang sesuai sebagai petunjuk dan pedoman kepada anak-anak.
*Mewujudkan kerjasama dan tanggungjawab.
*Dapat mengeratkan silaturahim.

KEDUDUKAN PERKAHWINAN DALAM ISLAM

Wajib kepada orang yang mempunyai nafsu yang kuat sehingga boleh menjatuhkan ke lembah maksiat (zina dan sebagainya) sedangkan ia seorang yang mampu.disini mampu bermaksud ia mampu membayar mahar(mas berkahminan/dower) dan mampu nafkah kepad bakal isterinya. Dalam permasalahan ini boleh didahulukan perkahwinan dari naik haji kerana gusar penzinaan akan berlaku, tetapi jika dapat dikawal nafsu, maka ibadat haji yang wajib perlu didahulukan kerana beliau seorang yang berkemampuan dalam segala aspek.

Sunat kepada orang yang mampu tetapi dapat mengawal nafsunya.

Harus kepada orang yang tidak ada padanya galakan dan bantahan untuk berkahwin dan ini merupakan hukum asal perkahwinan.

Makruh kepada orang yang tidak berkemampuan dari segi nafkah batin dan lahir tetapi sekadar tidak memberi kemudaratan kepada isteri, samaada ia kaya atau tiada nafsu yang kuat.

Haram kepada orang yang tidak berkempuan untuk memberi nafkah batin dan lahir dan ia sendiri tidak berkuasa (lemah), tidak punya keinginan berkahwin serta akan menganiaya isteri jika dia berkahwin.

Wednesday, April 7, 2010

JENIS-JENIS PERKAHWINAN

POLIGAMI
Poligami adalah perkahwinan lelaki dengan ramai wanita. Ia diamalkan oleh hampir kesemua bangsa di dunia ini. Mereka mengamalkan poligami tanpa had dan batas. Contohnya ada agama di negara China yang membolehkan perkahwinan sehingga 130 orang isteri. Pada syariat Yahudi, poligami dibenarkan tanpa batas dan menurut Islam, poligami hanya dibenarkan sehingga empat orang isteri dengan syarat-syarat yang tertentu.
POLIANDRI
Poliandri merupakah perkahwinan yang berlaku antara seorang perempuan dengan beberapa orang lelaki (konsep songsang dari poligami). Perkahwinan ini sangat jarang berlaku kecuali di Tibet, orang-orang bukit di India dan masyarakat jahiliah Arab. Contohnya masyarakat Juansuwaris apabila saudara lelaki yang tua mengahwini seorang wanita, wanita itu menjadi isteri untuk semua saudara-saudaranya. Amalan ini merujuk kepada kitab Mahabhrata.
MONOGAMI
Monogami merupakan cara perkahwinan tunggal iaitu perkahwinan antara seorang lelaki dengan seorang perempuan sahaja. Sesetengah agama seperti Kristian mengamalkan perkahwinan jenis ini kerana menganggap perkahwinan antara seorang lelaki dan seorang perempuan adalah untuk sepanjang zaman. Oleh kerana itulah penceraian tidak diiktiraf sama sekali (seperti mazhab Katolik).

Perkahwinan mengikut perspektif Islam



PERKAHWINAN
Perkahwinan atau nikah menurut bahasa ialah berkumpul dan bercampur. Menurut istilah syarak pula ialah ijab dan qabul (‘aqad) yang menghalalkan persetubuhan antara lelaki dan perempuan yang diucapkan oleh kata-kata yang menunjukkan nikah, menurut peraturan yang ditentukan oleh Islam.
Perkataan zawaj digunakan di dalam al-Quran bermaksud pasangan dalam penggunaannya perkataan ini bermaksud perkahwinan Allah s.w.t. menjadikan manusia itu berpasang-pasangan, menghalalkan perkahwinan dan mengharamkan zina.
SEJARAH PERKAHWINAN
Agama-agama wahyu memperakui bahawa perkahwinan pertama di kalangan manusia berlaku antara Nabi Adam a.s. bersama Hawa. Perkahwinan ini berlaku dengan suatu cara perhubungan yang dibenarkan oleh Allah s.w.t kepada mereka berdua. Ini merupakan suatu sistem perkahwinan yang disyariatkan bagi membiakkan manusia untuk memerintah Bumi dan mendudukinya buat sementara waktu.
Selain al-Quran dan hadith, Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru turut menceritakan kejadian Adam dan Hawa sebagai pasangan pertama. Di dalam Perjanjian Lama atau Taurat, telah diselitkan beberapa ayat, antaranya yang bermaksud, “Tuhan telah berkata tidak baik Adam berkeseorangan sahaja, maka Aku jadikan seorang penolong sepertinya”.
Berkenaan dengan perkahwinan anak-anak Adam sendiri tidaklah dapat diketahui bagaimanakah sistemnya yang sebenar. Di dalam Tafsir Ibn Kathir, apa yang diriwayatkan oleh Ibn Jarir daripada Ibn Masi’ud dari beberapa orang sahabat yang lain,bahawa mereka berkata yang bermaksud, “Sesungguhnya tidak diperanakkan bagi Adam anak lelaki melainkan diperanakkan beserta anak perempuan, kemudian anak lelaki kandungan ini dikahwinkan dengan anak perempuan dari kandungan lain, dan anak perempuan bagi kandungan ini dikahwinkan dengan anak lelaki dari kandungan yang lain itu.” Pada masa itu, perkahwinan berlainan kandungan boleh dijadikan seperti perkahwinan berlainan keturunan.